"EINFACHEN ITU SEDERHANA"

by AeZaL NaSA


p/s : click di label (right side) utk baca setiap episod... since da terabur sket neh..huhu (>,^)

Wednesday, October 27, 2010

EINFACHEN ep 12

“Dipersembahkan kepada anda….dua belas finalis Pencarian Gadis Malaysia ‘most beautiful, most elegant, and the most brilliant’!!!!”
            Seiringan dengan pengumuman daripada emcee bertugas, muzik rancak dimainkan dan kedua belas finalis keluar ke pentas utama sambil memperagakan dress dan busana hasil rekaan beberapa pereka fesyen tempatan yang tersohor. Mereka berjalan mengelilingi pentas dan akhirnya berdiri sebaris di tengah pentas.
            Masing- masing berdiri dengan penuh keyakinan. Jurukamera daripada pelbagai syarikat penyiaran berpusu- pusu mengambil shot terbaik.
            “Berikan tepukan gemuruh sekali lagi buat kesemua finalis PGM di atas pentas kini..”
            Tepukan gemuruh yang diterima menerbitkan senyuman mekar di bibir gadis- gadis PGM. Mereka berasa sangat terharu dan terkejut dengan sambutan dan sokongan yang diberikan oleh penonton.
            “Anda sudah mengenali siapakah juri- juri pertandingan ini, tetapi tidak mereka. Untuk pertama kalinya kami akan pertemukan peserta- peserta Pencarian Gadis Malaysia dengan juri yang dilantik bagi mengadili mereka, dan diperkenalkan juri kita yang pertama, Doktor Hariz Danial!!!” Sorakan dan tepukan gemuruh bergema.
            “Juri kita yang kedua, the one and only, Miss Mia Elregina!!!” Peserta PGM sendiri berasa sangat teruja apabila melihat Mia keluar dari sebalik pintu yang berputar. Sangat jelita!
            Di satu barisan penonton, Darwin, Fiqa dan Najwa berdebar melihat reaksi Qeisha apabila tiba giliran juri ketiga yang bakal keluar nanti. Risau jika gadis itu kembali lemah apabila berhadapan dengan Adam dan kali ini bersama Nadia pula.
            Fiqa dan Najwa sudah berpegangan tangan dengan erat sekali. Cuba mengikis kegusaran di hati mereka. Jantung mula berdegup laju.
            “Dan tiba giliran juri kita yang ketiga. Kedua- duanya sama cantik, sama padan, dan sama popular. Yang seorang merupakan penyanyi yang baru- baru ini memenangi anugerah penyanyi lelaki terbaik, dan seorang lagi pelakon filem yang tidak asing lagi, jadi dipersilakan kini…. Adam dan Nadia!!!!”
            Qeisha terkedu! Senyuman dibibirnya mati serta- merta. Wajahnya dipalingkan kepada dua objek yang berjalan ke hadapan pentas kini. ‘Memang dia!’
            “Okay sekarang kita minta juri- juri semua duduk di kerusi juri di bawah. Dan pengumuman ini merupakan satu kejutan buat peserta Pencarian Gadis Malaysia kita, selepas kita berehat seketika nanti anda semua akan kembali ke pentas ini untuk sesi soal jawab spontan bersama barisan juri kita. Anda akan mencabut undi untuk mengetahui siapakah juri yang akan menyoal anda dan seterusnya jawablah soalan yang diberikan itu mengikut pendapat dan pengetahuan anda. Jadi kita akan berehat sebentar dan kembali lagi selepas ini….”
            Muzik kembali dimainkan dan peserta- peserta kembali ke belakang pentas mengikut giliran. Tepukan gemuruh berterusan buat mereka.

QIMY meneruskan pemanduannya dengan tenang walaupun kekadang mencecah sehingga 160 km/j!! Senyuman tidak lekang dari bibirnya.
            “Aishh…kalau aku tahu dari awal yang awek converse dah tukar jadi awek high heels macam tu, dah lama aku follow Airil je!”
            Bebelnya seorang diri.
            “Maknanya selama ni awek converse ni kawan dengan Najwa lah… adoii keciknya dunia. Kalaulah aku kenal dia dari dulu dah lama dah naik pelamin ni. Silap- silap da jadi bapak budak dah aku ni agaknya!”
            Masih terus membebel. Siap sempat berangan lagi. Tangannya menyeluk saku mencari telefon bimbitnya dan nombor Airil segera dihubungi. Tak dapat!
            “Aduh…. Mana nak dapat. Mestilah kena silent phone duduk dalam tu.. alamak.. sempat ke tak ni..!” Qimy menyungut. Jam di dashboard dipandang sekejap- sekejap.
            “Time- time macam nilah aku rasa nak beli helikopter sekarang jugak! Bila nak sampai ni?!”

“SEKARANG tibalah giliran peserta terakhir yang akan berdiri sendirian di pentas utama ini menghadap juri- juri kita. Namanya memang unik. Jarang saya jumpa dan jarang kita dengar juga. Namanya secantik pemiliknya, dan gadis ini merupakan antara mereka yang mengekalkan prestasi terbaik semasa di Kem PGM. Beliau cukup tegas, tabah, dan kuat mental dan fizikalnya disebalik kelembutan dan kesopanan yang ditonjolkan. Dipersembahkan kini diatas pentas PGM, Qeisha Safira Binti Ghazally, atau Qeisha.”
        Tepukan diberikan buat Qeisha. Fiqa dan Najwa bersungguh- sungguh bersorak sambil mengangkat kain rentang bertulis ‘QEISHA’ diatasnya. Kamera siap fokus pada mereka lagi. Tak sia- sia usaha mereka menyiapkan kain rentang itu. Dapat juga menyelit dalam televisyen. Patutlah Najwa bukan main glamour lagi melaram!
Di kerusi juri, jejaka itu berlagak tenang apabila mendengar nama dan melihat Qeisha dihadapannya. Hanya sekali sahaja dia pernah melihat Qeisha sejelita itu iaitu semasa majlis annual dinner kolejnya dulu sepanjang perkenalan mereka. Dalam hati dia memohon agar namanya yang dipetik Qeisha sebagai juri untuk menyoal soalan.
“Okay Qeisha, awak boleh pilih sampul mana yang awak berkenan.”
Qeisha menarik sampul berwarna ungu dari tangan emcee itu.
“Oh..ambil sama warna dengan baju ya..?? okay, Qeisha telah memilih…”
Debaran bertandang di jiwa Qeisha, ‘harap- harap bukan Adam!’.
“Mia! Jadi Mia boleh tanyakan apa- apa soalan kepada Qeisha. Silakan.”
Qeisha menghembus nafas kelegaan. Fiqa dan Najwa juga begitu. Lagaknya seperti mereka saja yang sedang bertanding! Siap ikut gementar lagi!
“Hai Qeisha.. cantik dan sempurna sungguh ciptaan Allah di hadapan saya ini..” Mia memuji diiringi tepukan gemuruh penonton. Qeisha tersenyum manis.
“Okay Qeisha, sebenarnya saya sendiri dah habis senarai soalan yang saya buat tadi. Jadi ini soalan spontan juga dari saya, bagi diri Qeisha sendiri apa yang akan Qeisha berikan kepada seseorang itu apabila kalian sudah membina hubungan yang dipanggil percintaan?”
Qeisha mengangguk sambil terus tersenyum. Gundah di hati cuba ditangkis. Jantungnya masih berdegup kencang bukan kerana soalan yang ditanya, tetapi kerana renungan Adam yang begitu tajam kepadanya.
Qeisha mengambil sedikit masa untuk memikirkan jawapan yang sesuai. Dengan lafaz Bismillah di dalam hati, Qeisha mengangkat mikrofon menghampiri bibirnya.
“Assalamualaikum dan terima kasih Cik Mia untuk soalan tadi. Menyebut soal percintaan, secara jujurnya saya takut untuk menerima cinta sekali lagi selepas pengalaman dulu tak membahagiakan…..” Qeisha memberanikan diri membalas renungan Adam. Adam tewas.
“Dan kerana pengalaman yang lalu juga saya hampir hilang keyakinan diri saya. Tapi kini saya bukan Qeisha Safira yang dulu…yang naïf dalam segala hal. Saya tak dapat menjangka apa yang perlu dan akan saya lakukan untuk percintaan akan datang tetapi apa yang saya tahu, saya akan bersederhana dalam percintaan itu nanti…”
“Sederhana? Qeisha tak takut boyfriend lari ke?” Mia menyoal lagi sambil ketawa sedikit.
“Mari sama- sama kita cuba fahami puisi ini, ‘aku ingin mencintaimu dengan sederhana, lewat kata yang yang tak sempat diucapkan, awan kepada air yang menjadikannya tiada. Aku ingin mencintaimu dengan sederhana, dengan kata yang tak sempat diucapkan, kayu kepada api yang menjadikannya abu…’. Walaupun kita tak pernah ucapkan cinta itu, tak bermaksud kita tak mencintainya. Saya tetap akan mencintai, melindungi, mempertahan, dan mempercayainya sehinggalah cinta yang sederhana itu menjadi sebanyak- banyaknya apabila sudah tertulis itulah jodoh saya dari ALLAH... dan ketika itu saya tak akan lagi ragu untuk ucapkan rasa ‘cinta’ itu…”
“Qeisha…jawapan awak tadi sebenarnya sudah menyedarkan ramai orang tentang apa itu cinta sebenar yang cukup tulus dan ikhlas. Terima kasih Qeisha, jawapan yang sangat baik...” Ucap Mia. Ternyata dia berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Doktor Hariz disebelahnya turut mengangguk- anggukkan kepala bersetuju.
“Terima kasih..” Qeisha membalas tenang dan berlalu semula ke belakang pentas. Tepukan gemuruh berkumandang lagi untuknya. Siaran direhatkan sebentar bagi mendengar pesanan penaja.
Dibelakang pentas Qeisha diserbu rakan- rakan seperjuangannya yang lain termasuk juga krew- krew produksi di situ. Mereka memuji akan kelancaran Mia menjawab soalan daripada juri sebentar tadi. Qeisha Cuma tersenyum merendah diri.
Dengan melalui beberapa ‘lorong tikus’ di belakang itu, Qeisha akhirnya menemui satu pintu yang membawanya kebahagian belakang dewan konvensyen yang menghadap jalan raya yang tidak terlalu sibuk. Jiwanya cuba ditenangkan. Perasaannya bercampur baur. Nafasnya ditarik dalam dan dihela semahu hatinya.
Sungguh perasaannya sukar ditafsirkan apabila melihat Adam di depannya dan diperkenalkan sebagai juri. Rasa itu juga menerjah apabila melihat kemesraan antara Adam dan Nadia. Dan rasa itu juga menerjah apabila Adam tajam merenungnya tadi. Kepalanya berserabut memikirkan maksud renungan Adam tadi. Tetapi apa yang Qeisha tahu…itulah renungan yang pernah dirinduinya…….
“Qeisha…..”
Qeisha menoleh. Adam…..
“Dah lama kita tak jumpa… Qeisha apa khabar?”
Qeisha membatukan diri. Perasaannya cuba dikawal. Bibirnya diketap kuat. Adam mengeluh.
“Win, Fiqa, Najwa, Papa Muiz semua sihat?” soal Adam lembut.
Qeisha mengangguk kecil. Adam tersenyum.
“Adam masuk dulu. Qeisha jangan duduk sini lama- lama sangat ya..” Adam berlalu.
Qeisha kembali merenung pemandangan kosong dihadapannya. Ingatan dari Najwa menerjah kotak ingatannya.
“Qeisha….walau macam mana kasar sekalipun perbuatan Adam pada Qeisha dulu, jangan pernah balas dengan kekasaran juga sebab itu bukan diri Qeisha yang sebenar. Tolong Adam sedar kesilapan dirinya. Bukan sedarkan dia untuk melutut balik depan Qeisha…”
“Sabar….ikhlas…..” dua perkataan itu tiba- tiba berdetik di hati Qeisha.
Qeisha menarik nafas sedalam- dalamnya sekali lagi mencari kekuatan. Kakinya kembali melangkah masuk ke dewan konvensyen.



Aku ingin mencintaimu dengan sederhana,

Lewat kata yang tak sempat disampaikan,

Awan kepada air yang menjadikannya tiada.

Aku ingin mencintaimu dengan sederhana,

Dengan kata yang tak sempat diucapkan,

Kayu kepada api yang menjadikannya abu.  

Sunday, October 17, 2010

EINFACHEN ep 11

“RIL, aku tak dapatlah nak join kau hari ni. Aku ada hal sikit ni.”
            “Hal apa pulak? Takkan kau nak usha ‘awek converse’ lagi ni?” duga Airil.
            Qimy terdiam. Sebenarnya itulah agenda yang dirancangnya.
            “Haa?? Kenapa diam? Betullah kau nak teruskan penyiasatan CSI, Cari Si Isteri kau ni?”
            “Ril, kau ni support lah aku sikit. Bila aku mainkan banyak awek, kau juga yang bising, ni aku nak cari the one and only pun kau nak bebel jugak?”
            “Tapi yang kau cari tu macam mustahil sangat je nak jumpa. Baik kau ikut aku. Manalah tahu kot- kot ‘petanda jodoh’ kau tu masuk jugak program ni.” Sindir Airil.
            Qimy menggeleng- geleng. Dia nekad mahu mencari gadis itu dan tidak kisah sekiranya orang lain menganggapnya gila dengan tindakan yang dilakukan ini. Dapat tahu namanya, tempat tinggal, nombor telefon, email, dan facebook pun cukuplah.. eh, macam dah merangkumi semua maklumat aje!
Rambutnya dipacak kemas, David Off Cool Water disembur secukupnya, dan setelah berpuas hati dengan penampilannya, kunci Toyota Vios disambar. Qimy keluar rumah dengan langkah kanan, berharap pencariannya berhasil kali ini. Fuhhh kanan…..fuhhhh kiri…….fuhhh depan……fuhhh belakang!!

DARWIN, Muiz, dan Airil sama- sama tiba di rumah Fiqa dan Najwa tepat jam lapan malam sebelum sama- sama bergerak ke SACC. Mereka akan menaiki kereta Muiz untuk ke sana. Mudah…. Tak perlu bergelut mencari parking nanti. Lagipun apa guna kereta besar kalau tak dimuatkan dengan muatan yang penuh….
            “Papa Muiz, cukup besar tak banner ni?” soal Fiqa sambil menunjukkan sepanduk yang tertulis nama Qeisha di atasnya kepada Muiz.
            “Cukup cukup cukup. Tapi tak over sangat ke kita ni siap nak bawa- bawa banner pula?”
            “Alaaa…. Tak payah nak dikisahkan sangatlah fasal orang lain. Lagipun Fiqa nak tunjuk banner ni kat depan muka si Adam tu. Biar terbukak sikit mata, mulut, hidung dia tu!”
            Fiqa mula mengomel. Terkejut sungguh dia dan Najwa apabila mendapat tahu bahawa Adam dan Nadia adalah juri untuk pertandingan ini daripada akhbar semalam. Terasa gerun pun ada kerana bimbang jika Adam sengaja mengenakan Qeisha nanti. Tetapi mereka cuba berfikiran positif. Mungkin dengan cara ini, Adam akan dapat mengetahui lagi kemampuan Qeisha, gadis yang ditinggalkannya…
“Amboi..mak nenek sorang ni. Garangnya!” celah Darwin. Tawanya meletus pula apabila melihat Fiqa mencebikkan bibirnya.
“Apa gelak- gelak? Nak kena seret?” ugutnya.
“Tak nak… kerana nanti Darwin Aqmal akan menangis kerana dibelasah teruk oleh Fiqa Airisya…”
“Eleh…ingat comellah tu buat muka dengan suara macam tu?”
“Terima kasih!!!!”
Fiqa tak puas hati. Lantas tangannya laju mencubit lengan Darwin. Sampai naik merah lengan jejaka itu dikerjakannya. Tapi Darwin? sengaja ditoyakan wajahnya walaupun sedang menahan sakit yang teramat. Fiqa semakin geram!
“Win!!! Cakaplah sakit!”
“Sakit~~~~.” Ajuk Darwin. siap dilagukan lagi suaranya.
“Nak kena lagi ya?”
Fiqa sudah bersedia dengan tangan ketamnya dengan niat mahu terus mengepit lagi!
“Okay okay. Sakitlah..tengok ni sampai lebam dah tangan Win. Ni mahu jadi parut kekal ni.”
Darwin menggosok- gosok kawasan lebam itu. Sengalnya masih terasa. Peritnya pun boleh tahan juga.
“Ya ke? Sorry Win.. sini Fiqa tengok..”
Fiqa merapati Darwin. Lebam itu diamatinya. Terasa bersalah pula mencubit lelaki itu sehingga lebam begitu. Sememangnya dia mencubit dengan sekuat- kuat hati tadi. Segala tenaganya diperah untuk melahirkan satu cubitan yang sangat berbisa. Dan hasilnya??
“Win…..sorry ya…”
Fiqa menggosok lembut kawasan lebam itu. Ditiupnya perlahan kawasan itu. Harapnya rasa sakit itu akan berkurang. Darwin tersenyum.
“Tak apa.. kalau Fiqa nak gigit pun boleh. Tapi kalau boleh… janganlah gigit ya..” seloroh Darwin. Matanya dikenyitkan sebelah. Fiqa kembali tersenyum senang.
Muiz dan Airil yang melihat gelagat dua sejoli itu hanya menggeleng- gelengkan kepala. Comel sahaja tingkah mereka. Saling bertolak ansur dan memahami antara satu sama lain.
“Hai…diorang nak bermesra depan kita pulak ni Ril. Fiqa nilah.. tahulah Papa Muiz sorang je tak ada couple kat sini, nak main tunjuk- tunjuk pulak..”
Fiqa tersengih. Mukanya merona kemerahan menahan malu diperli Muiz sebegitu. Darwin dan Airil juga tertawa melihat Fiqa yang mula tidak tentu arah.
“Sorry lambat..bolehlah kita gerak sekarang ya?” Najwa yang baru keluar dari rumah meleraikan tawa mereka yang lain.
“Amboi..glamournya Kak Najwa. Ni siapa yang masuk pertandingan sebenarnya ni?” Fiqa mengusik.
“Alaaa.. tak apalah. Manalah tahu kalau- kalau ada hadiah ke untuk penonton paling glamour ni..”
“Dah- dah.. jum cepat. Karang tak boleh pula kita masuk hall nanti.”
Muiz menamatkan perbualan. Mereka semua masuk ke dalam kereta Muiz lalu enjin dihidupkan dan perjalanan dimulakan.

QIMY kembali ke rumah dengan wajah yang tidak bermaya. Pertanyaan demi pertanyaan dari Datin Zulaika juga tidak diendahkan. Wanita itu juga pelik melihat kelakuan anaknya yang semakin pelik akhir- akhir ini. Memanglah perubahannya itu positif apabila Qimy tidak lagi pulang ke rumah lewat malam dan berpesta ke sana sini, tetapi kemurungan anaknya itu mula menjadi tanda tanya.
            Apabila ditanya Airil, dia juga tidak pasti dengan apa yang berlaku kepada adiknya itu. Nombor telefonnya juga telah ditukar bagi mengelakkan diri daripada perempuan- perempuan yang menagih wang ringgitnya. Dia lebih banyak menghabiskan masanya di dalam bilik dan laman rumah sambil termenung sendirian.
            Qimy menghempaskan tubuhnya di atas katil. Kekecewaannya bertandang lagi. Empat jam menunggu dan mencari gadis itu di Sunway Pyramid ternyata tidak membuahkan hasil sekali lagi kepadanya. Jangan katakan hidung! Bunyi tapak kasut pun tak ada!
            ‘Pencarian Gadis Malaysia.’ Tiba- tiba terlintas perkataan itu dimindanya.  Qimy bangun daripada pembaringannya dan mencapai alat kawalan jauh televisyen dibiliknya. Mencari- cari siaran yang menyiarkan program itu.
            “Dan peserta seterusnya….dipersilakan Qeisha Safira Binti Ghazally!!”
            ‘Oh…inilah kawan Najwa tu…’
            Qimy mengamati wajah gadis yang baru keluar dari belakang pentas itu. Dress berona ungu yang melekap ditubuhnya cukup indah ditambah dengan persona si pemakai. Qimy menilik wajah gadis itu.
            “DIA!!!! AWEK CONVERSE!!!”
            Qimy menjerit lalu segera televisyen itu dipadam. Kunci kereta yang dicampak di atas meja tulisnya tadi dicapai semula. Berlari dia keluar dari rumah. Dato’ Shahril dan Datin Zulaika tidak sempat bertanyakan apa- apa. Qimy memecut laju keretanya menuju ke Shah Alam.
            ‘Harap- harap sempat….’ Doanya dalam hati. Senyuman kecil terlahir dari bibirnya. Bahagia sungguh apabila sudah nampak apa yang dicari.                        


Since the first time I met you,
I couldn't seem to forget you.
And lately I seem to find,
That you're always on my mind.
I feel so happy around you,
And I thank God that I found you.
At first I thought of you as a really good friend,
But I realized that my feelings there didn't end.

I was so afraid to tell you,
Cos I didn't know what you do.
Then I heard that you felt the same way,
And those words were so easy to say.

Oh, when I see you smile,
It makes my life worth while.
And since the very start,
You have been in my heart.
When my life skies are dark and gray,
You chase all those storm clouds away.

I've never felt this way before,
And honestly that is for sure.
I'm so glad that we did meet,
For now my life is complete.
You're what they meant,
By heaven sent.

Monday, October 11, 2010

EINFACHEN ep 10

PENAT sungguh Qeisha dan rakan- rakannya. Mereka duduk di belakang pentas beramai- ramai sebelum menanti kenderaan yang akan membawa mereka pulang ke banglo kediaman. Petang tadi bermula jam tiga sehinggalah jam sebelas malam, mereka telah berada di Shah Alam Convention Centre SACC untuk mengadakan raptai bagi acara esok.

      “Hadoiii…..penatnya mak….. kalau kalah jugak ni tak tahulah mak nak cakap apa nyah..”

      Beyla tiba- tiba bersuara sambil mengajuk perwatakan pengarah pentas yang ‘adik- adik’ itu. Semua di situ ketawa terbahak- bahak. Terlupa sebentar keletihan yang melanda.

      “Huyyyoooo…anak- anak ikan Shah Alam laa….hot nya nyah…mak suka!” giliran Alya pula menyampuk menyambung watak Beyla tadi apabila kelihatan sekumpulan anak muda berjalan di hadapan bangunan SACC itu.

      “Alaaaa….. mak tak suka anak ikanlah nyah. Mak suka abang ikan. Bapak ikan pun mak tak suka, sebab mak tak nak jadi perampas. Kesian mak ikan nanti.”

      “Alaaa…kalau abang ikan tak nak kat kita nyah.. kita sapu je lah yang mana ada..”
Ketawa mereka semakin menjadi- jadi sehinggalah kelibat van yang membawa mereka semua tiba. Barulah aman sikit hidup pakcik sekuriti yang agak pening pada awalnya mendengar keriuhan gadis- gadis itu tadi.

      Tergeleng- geleng kepalanya melihat telatah mereka yang lucu. Faham kerana masing- masing cuba menghiburkan hati kerana keletihan yang teramat dan mungkin juga rasa gemuruh untuk esok hari. Lebih baik bergelak ketawa daripada bergaduh tak tentu fasal kan.. sekurang- kurangnya tiada yang tercedera. Mana lebih baik?? Anda tentukan!

      Di dalam van, Qeisha diam duduk di hadapan bersebelah dengan pemandu. Memang dia sengaja memilih duduk di hadapan. Selesa sikit. Tak adalah menyempit macam di belakang!

      “Fikirkan apa Qeisha?” soal Irfan. Si pemandu van yang juga merupakan krew pentas dan dewan untuk program PGM. Dua bidang kerja dalam satu.

      Qeisha menggeleng kepalanya, “Tak ada apalah abang Irfan. Qeisha terfikir aje apalah yang jadi besok. Harap- harap Qeisha taklah terjatuh masa berjalan keluar pentas besok. Eeeiiii!!! Seramnya!” Qeisha meluah rasa.

      Irfan tersengih. Dia sudah mengikuti perkembangan gadis- gadis ini sedari sesi suai kenal di Kem Templer Park lagi. Tetapi dia paling tertarik dengan Qeisha dan rakan baiknya, Beyla dan Alya. Mungkin kerana mereka antara yang paling jelita berbanding yang lain. Tetapi mungkin juga karakter di sebalik kejelitaan itu yang menariknya.

      “Come on... Qeisha yang abang kenal mana ada penakut macam ni. Abang yakin Qeisha boleh buat yang terbaik punyalah. Mesti ramai yang suka Qeisha nanti.”

      “A’ahhhh…betul cakap abang Irfan tu.. mak sukalah abang Irfan ni nyah!” Beyla tiba- tiba manyampuk dari belakang. Masih belum ‘cut’ lagi watak ‘adik- adik’ ni…

      Qeisha, Irfan dan lima lagi penumpang yang lain ketawa melihat gelagat Beyla. Kalau ya pun penat janganlah kronik sangat macam ni…

      “Iyalah Cik Lala….Abang Irfan pun suka sangat kat Cik Lala ni.”

      “Eh….apa Lala Lala??? Beyla okay!”

      “Laaa….kenapa pulak Beyla?? Lala lah glamour sikit. Sesuai sangat dah tu.”

      Beyla tidak membalas lagi. Sebaliknya hanya mencebik geram! Irfan dipandangnya dengan mata yang tajam.

      “Fuyyyooo….Lala jeling- jeling manja kat abanglah Qeisha. Ada yang nak kena tinggal kat tepi jalan ni.” Seiring dengan itu lampu signal ke sebelah kiri dinyalakan.

      Beyla memukul belakang Irfan dengan buku notanya. Jahat sangat! Melihat Irfan yang mengaduh kesakitan, Beyla tersengih dengan muka nakalnya. Qeisha yang duduk di sebelah Irfan pula yang rasa bersalah.

      “Sakit ke bang? Kau ni Beyla ada ke main pukul- pukul macam tu.”

      “Eleh…action je lebih dia ni. Nak ngorat kaulah ni Qeisha. Taktik lamalah ni Abang Irfan.” Beyla terkekeh- kekeh ketawa selepas meluahkan kata. Selamba saja.

      Qeisha tak senang duduk dibuatnya. Pandangannya dialihkan ke luar. Irfan juga begitu. Difokuskan pemanduannya. Penumpang lain di belakang pula bukan main lagi mentertawakan mereka terutama sekali Beyla dan Alya. ‘Jaga korang bila sampai rumah nanti!’


MENYAMPAHNYA I dengan wartawan tadi tu. Ada ke patut tanya soalan pelik- pelik macam tu. Mesti baru kerja dia ni!”

      Nadia tiba- tiba membentak tetapi masih dengan gaya manjanya di hadapan Adam ketika mereka sedang menikmati ais krim di Baskin Robins.

      Sungguh dia merasa begitu marah dan tercabar dengan wartawan itu yang menyoalkan tentang kesetiaan Adam terhadapnya. Dalam fikirannya, apalah sangat yang ada dalam diri budak- budak dalam PGM itu jika mahu dibandingkan dengan tahap kejayaan yang dimilikinya. Baru mahu bertapak dalam industri ini tak payahlah berniat mahu memancing paus besar...pandang pun tak layak tahu!

      Nadia terus meneliti profil peserta- peserta PGM dihadapannya sambil terus menikmati ais krim di sebelahnya.

      “Alaaa…. You tak payah fikirkan sangat fasal tadi tu. Biasalah soalan- soalan macam tu. Lagipun you kenalah faham, I kan ramai peminat perempuan jadi tak mustahillah ada antara mereka tu yang minat I.”

      “Yalah…tapi tak payahlah nak tanya soalan macam I ni perempuan murah yang tak ada maknanya bagi you. Bencilah!” cebiknya lagi.

      “Honey…you tak perlu nak rasa macam tu. Sebab I akan sentiasa sayang you aje. Promise!” Adam mengangkat tangan berikrar. Ingatannya mula mengimbau kenangan yang menemukan dirinya dengan Nadia.

      “Hai…you Adam kan? wau.. I suka sangat dengar nyanyian you!” Nadia merapati Adam. Ketika itu Adam baru sahaja tiga bulan bergelar penyanyi setelah dirinya dilamar oleh sebuah syarikat rakaman yang berminat bekerjasama dengannya.

      “Terima kasih Cik Nadia.”

      “Eh tak payah bercik- cik dengan I. Panggil Nadia je.” Nadia melentok- lentok manja.

      Adam tersenyum. Bangga kerana seorang pelakon terkenal dan cantik seperti Nadia mengagumi bakatnya.

      “By the way.. ni kad I.. kalau ada masa, just give me a call.”

      Kad dihulurkan. Adam menyambutnya dengan senyuman kepuasan. Selepas pertemuan singkat itu, Adam mula menghubungi Nadia dan beberapa pertemuan juga diatur. Ketika itu dia mula hilang minatnya dengan Qeisha. Lalai dengan kemanjaan dan kemesraan Nadia ketika bersamanya.

      Sehinggalah dia tekad untuk memutuskan hubungannya dengan Qeisha apabila Nadia menerima cintanya. Tidak disedari betapa dia begitu kejam terhadap gadis itu. Gadis yang selama ini banyak memberikan sokongan kepadanya dalam mencapai cita- citanya kini. Qeisha tidak pernah merungut, tidak pernah meminta dan tidak pernah cemburu buta. Qeisha cukup sederhana.

      “Qeisha……”

      “Adam?” Sapaan Nadia mematikan lamunan Adam. Tiba- tiba terkenangkan Qeisha.

      “You cakap apa tadi?” soalnya pula.

      “Tak ada apa- apa. I baca menu kat atas tu tadi.. jumlah kita balik, I dah penat sangat ni.” Dalihnya segera mengubah topik.

      “Alaaa….awalnya you nak balik? Jum teman I pergi shopping dulu.”

      “Tapi I dah penat sangat ni Nadia. Lain kali ajelah kita shopping.”

      Nadia mula mencebikkan bibir tanda tidak puas hatinya kerana permintaannya tidak diendahkan. Pandangannya dilarikan dari muka Adam.

      Adam mengeluh. “Okaylah...” tangannya dihulurkan dan segera disambar Nadia. Senyumannya meleret- leret.

      ‘Qeisha tak pernah begini…………’ kata hatinya.


QEISHA tersentak. Seperti ada yang memanggilnya tadi. Kepalanya dipusingkan ke kiri dan kanan. Tiada sesiapa. Qeisha mengeluh. Dibawa dirinya keluar ke beranda menikmati udara malam. Susah pula mahu melelapkan mata.

      Qeisha berdiri sambil mendongak ke langit. Bintang- bintang bertaburan di langit menyerikan lagi bulan yang mengambang penuh. Udara segar malam itu begitu mendamaikan walaupun kadang- kadang angin yang menyapa terlalu dingin. Qeisha memeluk tubuhnya.
      
      Besok setelah hampir sebulan meninggalkan keluarga dan teman- teman, Qeisha berpeluang bertemu mereka semula walaupun dari jarak pentas dan penonton. Dia terlalu rindu pada Muiz, Darwin, Fiqa, dan Najwa. Keluarganya satu- satunya. Kalau sekarang Adam masih bersamanya, tentu rindunya juga akan terbit buat jejaka itu.
      
      Ahhhhhh!! Buat apa difikirkan lelaki sepertinya! Qeisha perlu menjalankan misi sebenar dia berada di sini. Rancangan yang telah dibina oleh Fiqa dan Najwa perlu direalisasikan kerana dia juga mahukan begitu!
 
      “Apa yang Fiqa dengan Kak Najwa dah rancang sebenarnya ni?” soal Qeisha sebelum bertolak ke Kem Templer Park tiga bulan lepas.

      “Qeisha….apa pun yang Kak Najwa dan Fiqa rancang, ni semua untuk kebaikan Qeisha dan Adam. Kak Najwa tahu yang Qeisha tetap tak akan terima Adam semula sebab itu janji dia dulu. Tapi sekurang- kurangnya kita boleh sedarkan Adam dari terus hanyut dengan dunia dia sendiri. Sedarkan dia Qeisha….sebab dia pernah jadi sahabat kita…dan pernah ada tempat di hati Qeisha…”

      Qeisha mengeluh. Kata- kata Najwa sekali lagi menerjah fikirannya.

      “Bantu Adam, Qeisha. Dan Kak Najwa harap Qeisha ikhlas lakukannya. Ingat Qeisha, sabar dan ikhlas itu mencerminkan Islam dan kemuliaan diri kita.”

      Qeisha termenung. Kata- kata Najwa berpusing- pusing dimindanya. Patutkah dia membantu Adam setelah apa yang dilakukan Adam ke atasnya??

Takkan pernah habis air mataku
Bila ku ingat tentang dirimu
Mungkin hanya kau yang tahu
Mengapa sampai saat ini ku masih sendiri
 
Adakah disana kau rindu padaku
Meski kita kini ada di dunia berbeda
Bila masih mungkin waktu berputar
Kan kutunggu dirimu …


Biarlah ku simpan sampai nanti aku kan ada di sana
Tenanglah diriku dalam kedamaian
Ingatlah cintaku kau tak terlihat lagi
Namun cintamu abadi …

Wednesday, October 6, 2010

EINFACHEN ep 9

WARTAWAN- wartawan hiburan sudah memenuhi ruang media pejabat penerbitan yang menaja program realiti terbaru, Pencarian Gadis Malaysia. Kesemua mereka mengeluh kerana makhluk yang mahu ditemubual masih belum muncul. Nasib baik tempat ada air cond, kalau tengah panas yang putih pun boleh terbakar! 
Hari ini, pihak penerbitan program mahu mengumumkan juri- juri tetap bagi mengadili peserta yang terdiri daripada pakar motivasi, Supermodel Malaysia, dan pasangan artis. Semua orang masih tertanya- tanya siapakah juri- juri tersebut. Beberapa nama popular kelihatan meniti dibibir mereka.
Pintu dari pentas utama terbuka. Kelihatan penerbit dan wakil daripada penaja utama program Pencarian Gadis Malaysia keluar dari situ. Lampu- lampu flash daripada kamera jurukamera mula meliar disana sini. Ada yang menyilaukan mata juga!
“Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang hadir pada hari ini. Seperti mana yang sedia maklum, pada hari ini pihak kami akan memperkenalkan kepada anda juri- juri tetap bagi program realiti terbaru, Pencarian Gadis Malaysia ‘most beautiful, most elegant, and most brilliant’.”
Satu tepukan gemuruh bergema di ruang sederhana besar itu. Ramai yang tidak sabar menunggu siapa gerangan orangnya.
“Berikan tepukan gemuruh kepada Pakar Motivasi Remaja dan Kaunselor yang tidak asing lagi, Doktor Hariz Danial!!”
Doktor Hariz Danial yang baru keluar daripada belakang pentas diterjah dengan lampu flash kamera dari segenap sudut. Senyuman tidak lekang dari wajahnya. Pakar motivasi yang terkenal dengan kebijaksanaan dan kekacakannya itu siapa yang tidak kenal?
Beliau cukup arif mengenai hal- hal berkaitan masalah emosi, sosial, dan persekitaran remaja. Antara kes yang sering dikendalikan beliau adalah seperti remaja mengandung luar nikah, ketagihan dadah, gangsterisme, dan pelbagai lagi. Doktor Hariz juga kini ligat mengendalikan kem motivasi miliknya sendiri yang baru bertapak setengah tahun. Azamnya agar remaja- remaja kini lebih berwawasan untuk menempuhi kehidupan yang lebih mencabar di masa akan datang.
“Juri kita yang kedua, supermodel Malaysia, the one and only…… Miss Mia Elregina!!” ghairah sungguh emcee tersebut menjerit nama juri kedua itu.
Kini giliran Mia pula ditujah cahaya kamera. Gadis yang mengukir nama bermula dari pertandingan model cover girl itu mula menerima pelbagai tawaran peragaan, fotografi, dan duta produk kosmetik selepas menjuarai pertandingan tersebut.
Beliau juga telah mewakili Negara ke Pertandingan Model Antarabangsa dan mendapat pingat emas dalam kategori fotografi, dan pingat perak untuk kategori peragaan. Orang Melayu kita cun- cun lah…. Kalau boleh masuk Miss World lagi, confirm setiap tahun menang!
“Dan yang dinanti- nantikan, pasangan artis yang terpilih untuk menjadi juri ketiga bagi Pencarian Gadis Malaysia……kami berkeputusan memilih…. Adam dan Nadia!!!”
Adam dan Nadia keluar ke pentas utama dengan megahnya. Tepukan gemuruh tidak putus- putus buat mereka. Tetapi ada juga beberapa dahi yang berkerut menahan rasa melihat kegedikan Nadia yang sengaja ditonjolkan itu. Nak tunjuk manjalah tu… Loya mak!
“Jadi sekarang kami menerima sesi soal jawab. Soalan pertama?”
Seorang wartawan mengangkat tangan, “Saya nak tanya Mia, apa harapan yang Mia letakkan daripada finalis- finalis PGM ini?”
“Terima kasih. Sehingga kini saya belum berpeluang lagi untuk bertemu dan mengenali finalis- finalis PGM ini sehinggalah penampilan pertama mereka Sabtu ni. Semestinya saya mengharapkan yang terbaik daripada mereka, dan saya sangat meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat kejayaan mereka suatu hari nanti. Pertandingan ini bukan untuk suka- suka, dan sepatutnya mereka sedar peluang- peluang seperti ini sebenarnya mampu mengubah hala tuju kehidupan seseorang. Jadi kita minta yang baik- baik sajalah ya…”
Mia menjawab tenang sambil tersenyum manis.
Seorang lagi wartawan mengangkat tangan, “Sebagai pakar motivasi, apa yang akan Doktor cuba sampaikan kepada mereka finalis ini?”
“Saya difahamkan minggu demi minggu dalam PGM akan terdapat segmen soal jawab. Jadi di sini saya akan menguji sejauh mana corak pemikiran dan kefahaman mereka mengenai situasi di sekeliling. Setiap minggu juga kesemua mereka akan menyertai bengkel motivasi saya di mana terdapat beberapa tugasan yang perlu dilakukan dan setiap tugasan itu terdapat makna tersembunyi di sebaliknya. Banyak perkara yang akan saya sampaikan kepada mereka supaya mereka lebih memahami tugas mereka di muka bumi ini. Kita nantikan dan lihat bersama- sama kemampuan seorang gadis Malaysia..”
Wartawan tersebut mengangguk tanda berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Doktor Hariz. Tidak panjang dan tidak pendek. Tetapi cukup padat dalam melahirkan harapannya yang cukup tinggi buat finalis- finalis PGM.
“Maaf, kita tidak punya banyak masa, mungkin ada soalan terakhir yang boleh ditujukan kepada pasangan artis kita?” emcee yang senyap sedari tadi tiba- tiba bersuara.
“Saya ada soalan!”jerit seseorang dari arah belakang. Semua mata tertumpu kepadanya. Seorang gadis dengan buku nota ditangannya bersedia bertanyakan soalan.
“Apa perasaan Adam dan Nadia apabila dipanggil untuk menjadi juri bagi pertandingan ini?”
Adam berfikir sejenak sebelum tersenyum dan mengangguk sedikit ke arah Nadia menandakan kesediaannya untuk menjawab soalan yang duberikan.
“Memang terkejut juga bila kami berdua diberi kepercayaan untuk duduk di kerusi juri PGM, tetapi pada masa yang sama kami cukup berbangga dan berbesar hati untuk menyertai dan bekerjasama dengan pihak penerbitan dan penaja PGM. Kami juga tidak sabar lagi menantikan kemunculan finalis- finalis PGM nanti.”
“hmhm… Nadia tak jelous ke kalau Adam main mata dengan finalis PGM pula lepas ni?” soal wartawan itu lagi.
‘Mulut longkang betul perempuan ni!’getus hati Nadia. Mukanya keruh tetapi segera senyuman plastiknya dikeluarkan. Kantoilah nanti….kata pasangan bercinta terbahagia..
“Eh tak adalah, I dengan Adam sertai program ini atas urusan kerja dan tanggungjawab. Lagipun I rasa Adam tak akan sempat bermain wanita dengan gadis lain sebab I akan sentiasa awasi dia!” jawab Nadia diselang- seli dengan ketawa manja ala- alanya. Sangat menjengkelkan!
Nadia memberikan jelingan yang manja kepada Adam. Adam tersenyum menerima. Bangga dengan gadis disebelahnya yang cukup sempurna dimatanya.

DARWIN membantu pelajar- pelajarnya menyiapkan pentas bagi Sambutan Hari Jururawat peringkat kolej mereka seminggu lagi. Mereka duduk dalam bulatan berhadapan dengan pentas utama dan masing- masing mengeluarkan idea- idea bernas yang boleh diguna pakai.
            “Haaaaaa….. apa kata kita buat macam konsep rumah- rumah kampung?”
            Rafisha mengeluarkan ideanya. Belum sempat menerima apa- apa jawapan, Nurul Fatin terlebih dulu menempeleng kepalanya.
            “Hang ni gila ka apa? Ni pentas untuk Nurses Day…bukan pentas hari raya!” herdiknya.
            “Entah hang ni, dok buat ramai boleh!” Eton the gegurlz pula menambah.
            Dialek- dialek utara mula dikeluarkan patah demi patah. Kalau diikutkan, lebih kurang tujuh orang daripada mereka sahaja yang berasal dari Pulau Pinang dan Kedah, tapi bila sudah berkumpul, dialek utara sudah menjadi bahasa rasmi dalam kalangan mereka. Pelbagai perkataan pelik juga telah selamat dilahirkan dan digunakan secara berleluasa setiap hari.
“Janganlah marah dia, mana tahu kita boleh guna idea Nora Danish tuh…kita buat kelainan sikit.” Darwin membela Rafisha.
“Haaaaa…tengok, Mr. Darwin pun sokong idea aku tau. Hampa ja buta seni.”
Dengan penuh lagak dan yakinnya Rafisha @ Nora Danish menuturkan bait- bait katanya. Siap dikerut- kerutkan lagi dahinya.
“Dah dah tak payah nak merepek! Ni aku dengan Kak Anie dah draft sikit macam mana rupa pentas kita nanti. Okay tak?”
Danie meleraikan masalah dan menghulurkan sekeping kertas berlukis kepada Kapten kelas, Fitri. Fitri mengangguk- angguk dan kertas itu diserahkan pula kepada Darwin.
“Okay, cantik! So sebelum kita mula kerja jom kita turun makan dulu. Saya belanja!”
Semua pelajar semester 2B bersorak kegembiraan. Seperti mangsa- mangsa Palestin saja tingkah mereka. Sekelip mata mereka hilang dari Theatre hall dan menuju ke kafe kolej seperti rombongan Cik Kiah saja. Kalau pasal makan…..

‘BEAUTIFUL roses..for my only one Fiqa’
Fiqa tersenyum senang menerima jambangan bunga yang ada di atas mejanya. Segera telefon bimbitnya dicapai. Cuba dihubungi Darwin tetapi taliannya tidak berjawab. ‘Dalam kelas kot..biarlah’ bisik hatinya. Bunga di tangan masih diamati sepenuhnya. Dua puluh kuntum ros merah itu cukup cantik gubahannya dengan gabungan baby breath yang menaikkan serinya.
“ehem….”
Deheman seseorang mematikan lamunan Fiqa.
“Ya Encik Ashraf, ada apa- apa yang boleh saya bantu?” Fiqa menyoal. Wajahnya cuba sebaik mungkin dimaniskan.
“Bunga tu sebagai tanda maaf saya pada awak. Saya minta maaf kalau saya banyak menyusahkan awak. Saya harap awak terima tu.”
Fiqa sedikit terkejut. Disangkanya bunga itu pemberian Darwin, tetapi lain pula kisahnya.
“Maaflah Encik Ashraf, saya tak boleh terima bunga- bunga ni. Tak apa, lain kali minta maaf aje dah cukup. Tak payah nak berbunga- bunga.” Jambangan itu disua betul- betul tepat dimuka Ashraf.
“Eh ambillah, saya ikhlas.”
“Ikhlas? Okay saya terima bunga ni. Tapi kad ni Encik Ashraf boleh simpan… because I’m not your Fiqa,” balasnya tegas.
Ashraf terdiam dan menerima kad darinya itu semula. Fiqa berlalu meninggalkannya.