DUA hari sahaja lagi, program Pencarian Gadis Malaysia akan mula ke udara di sebuah stesen televisyen swasta yang cukup popular. Qeisha bersahaja saja. Sungguh dia tidak meletakkan apa- apa harapan untuk memenangi program itu, tetapi melihatkan usaha teman- temannya terutama sekali Najwa dan Fiqa yang beria- ia menyuruhnya berada di situ, dia tetap akan berusaha sedaya mungkin demi mereka. Mungkin ada hikmah juga buat dirinya.
“Qeisha, awak dah sedia nak berhadapan dengan penonton, kamera, media, dan sebagainya nanti?” soal Syuhada.
Syuhada merupakan pakar motivasi dan kaunselor yang juga merupakan mentor kepada peserta- peserta PGM. Beliau juga telah berada bersama- sama peserta PGM sepanjang tujuh hari kem suai kenal dan motivasi itu diadakan.
“Saya cuba yang terbaik aje nanti, Cik Syuhada. Mula- mula saya tak adalah gementar sangat, tapi bila dah dekat dengan tarikh kemunculan pertama ni rasa senak perut je 24 jam.”
Tertawa Syuhada mendengar jawapan Qeisha. Tidak dinafikan, dia dapat merasakan sesuatu yang istimewa dalam diri Qeisha. Qeisha juga agak berbeza perwatakannya dengan finalis- finalis lain. Seorang yang cukup tabah. Masakan tidak, semasa mereka menjalankan aktiviti jalan lasak, jungle trekking, dan survival hanya Qeisha yang mampu bertahan. Dia bijak mengawal emosinya dan cukup fit untuk aktiviti fizikal.
“Saya mahu awak lakukan yang terbaik nanti. Ingat Qeisha, apa saja yang kita lakukan, lakukan dengan sepenuh hati dan untuk kepuasan diri kita sendiri. Jangan pernah berfikir untuk berlumba. Tetapi berlawanlah dengan jiwa dan kemampuan diri sendiri untuk tonjolkan apa yang terbaik dalam diri awak ya..”
Qeisha mengangguk, “terima kasih, Cik Syuhada. Saya akan ingat semua pesanan dan tunjuk ajar Cik Syuhada, dan saya akan gunakannya sebaik mungkin. Terima kasih.”
Qeisha terasa ada air hangat di tubir matanya. Tiba- tiba terasa sebak yang mendalam. Nasihat dan ingatan daripada Cik Syuhada jadi mengingatkannya kepada arwah ibu dan ayahnya yang sering memberikan nasihat dan didikan kepadanya. Sudah hampir sembilan tahun mereka meninggalkannya akibat kemalangan ngeri, dan selama itu Qeisha telah dibesarkan papanya iaitu adik bongsu ibunya yang memang dipanggil papa. Rasa rindu menyelubungi jiwanya.
Syuhada yang melihat perubahan gadis itu segera mendekatinya. Segera gadis itu didakapnya. Pertama kali dia melihat Qeisha menangis sebegitu. Qeisha memeluk erat Syuhada. Tangisannya dilepaskan semahunya.
“Sabar Qeisha..saya dapat rasa apa yang Qeisha rasa sekarang. Saya nampak ketabahan Qeisha selama kita disini dan saya nak Qeisha gunakan semangat tu untuk berjaya di masa hadapan ya..”
Qeisha meleraikan pelukannya. Air matanya dikesat dan bibirnya segera diukir senyuman manis. Ya! Dia sudah bersedia!
Selesai sesi luahan perasaan bersama Syuhada, Qeisha menuju ke pondok telefon untuk menghubungi papanya. Perasaan rindu yang teramat menjalar dalam diri. Muiz telah menjaganya selama sembilan tahun ini dengan cukup sempurna, dan kerana terlalu leka menjaganya, Muiz sendiri masih belum berkahwin walaupun usianya kini sudah 36 tahun.
“Assalamualaikum papa,” ucap Qeisha riang apabila taliannya berjawab.
“Waalaikumsalam, Qeisha. Oh, dah seminggu kat sana baru teringat papa kat sini eh?”
“Sorry papa, kat sini busy sangatlah. Tadi pun Qeisha baru sudah jumpa kaunselor, Cik Syuhada. Cik Syuhada tu lawa tau papa. Lawa gila! Single lagi. Umur pun tak jauh sangat dengan papa. Papa 36, dia 33 baru. Okay lah tu papa. Nanti Qeisha rekomen kan okay.”
Qeisha berseloroh. Terdengar tawa Muiz di hujung talian.
“Eh, papa berkenan dekat Beyla tu. Comel sangatlah.”
“Ishhh…gatallah papa ni. Tak payah nak comel- comel sangatlah. Selera nak yang hebat- hebat je. Beyla dah ada boyfriend lah. Keturunan Syed- Syed lagi tau. Handsome giler kot boyfriend dia!”
Terlebih ghairah pula si Qeisha menceritakan perihal teman baiknya itu. Terasa gembira yang teramat apabila dapat berhubung dengan Muiz.
“Qeisha ni semua pun gila. Nanti gila betul- betul baru tahu.” Muiz ketawa. Senang dapat berhubung dengan anak saudaranya itu.
“Tak apalah…diorang yang gila, Qeisha tak,”manja tuturnya.
“Yalah tu. Qeisha buat yang terbaik ya untuk kemunculan pertama Sabtu ni. Nanti papa datang dengan Win, Fiqa, dan Najwa. Papa siap nak bawa sepanduk besar- besar lagi tau, kain rentang lima meter tau.”
“Tak payah kain rentanglah papa…malu je kalau kalah.”
“Tak payah nak malu- malu sangatlah kan. Kalau kalah Qeisha angkut bawa balik sendiri semua sepanduk- sepanduk tu!”
“Eh ni kes peras ugut dan buli membuli ni. Suka hati papalah ya.. okaylah papa, Qeisha ada rehearsal kejap lagi ni. Nanti kalau senang Qeisha call papa lagi. Jangan lupa datang tau Sabtu nanti. Bukan selalu boleh tengok Qeisha pakai dress siap make up lagi. Jelita sungguh tau papa.”
Bukan sahaja Muiz, tawa Qeisha juga terletus akibat keperasanan dan lawak spontannya itu. Perbualannya tamat dan Qeisha lantas menuju ke biliknya semula untuk terus membiasakan dirinya dengan high heels tiga inci itu!
*********************
“QIM, Sabtu ni aku nak join Najwa dengan kawan- kawan dia pergi tengok Pencarian Gadis Malaysia live kat Shah Alam Convention Centre. Kau nak join sekali? Mana tahu boleh jumpa jodoh kat sana..”
“Malaslah aku Ril. Kau pergilah sorang.”
“Apahal ni? Macam tak ada mood je aku tengok. Selalu kaulah yang paling ghairah sekali bab- bab gadis ni.”
Qimy hanya mendiamkan diri. Pandangannya dilempar sejauhnya pada tasik yang luas dihadapannya. Suasana di Taman Metropolitan Kepong pada petang itu cukup indah. Cuaca cerah mengizinkan orang ramai melakukan aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan- rakan. Ada yang bersenam, bermain skate, dan yang shuffle dance pun ada.
Qimy kurang pasti apa yang berlaku ke atas dirinya. Sekarang, pulang saja dari ofis, dia hanya menghabiskan masanya di dalam bilik dan termenung di beranda biliknya. Semua panggilan daripada gadis yang terhegeh- hegehkan dirinya tidak dilayan. Di reject semuanya. Mindanya masih teringatkan gadis itu. Gadis yang…… arrgghhhh!! Dia tidak mampu menceritakan soal gadis itu!
“Entahlah Ril. Aku tak tahu apa yang ada dalam fikiran aku ni. Kau masih ingat awek yang kita jumpa kat Converse Sunway ari tu? Aku asyik teringatkan dia je. Petanda jodoh ke tu?”
Airil tidak sempat menjawab kerana tawanya terbahak- bahak meletus dahulu. Petanda jodoh? baru ternampak dan tak kenal asal usul pun boleh kira petanda jodoh ke?
“Petanda jodoh? kau jangan buat lawaklah bro. Jumpa official pun belum. Nama dia pun kau tak tahu, asal- usul dia kau tak tahu. Kenapa dengan kau ni?”
Qimy masih mendiamkan diri. Betul juga apa yang dikatakan Airil. Kepalanya buntu memikirkan gadis itu. Puas sudah otaknya memikirkan cara untuk bertemu gadis itu sekali lagi. Sudah puas juga dia meronda berseorangan di Sunway Pyramid untuk mencarinya. Tetapi hasilnya masih tiada. Agaknya pekerja di Converse itupun sudah muak melihatnya yang menanyakan hal yang sama acapkali.
“Betul kau tak nak join aku Sabtu ni? Jangan menyesal pulak..”
“Malaslah. Kenapa kau dengan Najwa macam excited sangat je nak pergi layan show tu?”
“Kawan serumah dia masuk. Apa namanya…. Haaa Qeisha.”
Qimy hanya mengangguk. Dia dan Airil beriringan ke kereta untuk pulang. Hari sudah melarut senja.
“Tengoklah dulu macam mana. Kalau aku free Sabtu ni aku join. Aku ada kerja sikitlah.”
“Kerja apa lagi? Dah nak jadi part timer kat Converse ke?”
Qimy menyengih mendengar kata- kata Airil. Part timer kat Converse? Bagus juga idea tu. Tapi…. Aissshhhh!! Jangan nak merepek sangatlah!